
KUALA LUMPUR : Jemaah umrah mempunyai pilihan sama ada berurusan terus dengan setesen kuarantin swasta (rujuk hotel yang disenaraikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)) atau stesen kuarantin yang diuruskan Kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad dalam satu kenyataan berkata bagi penempatan kuarantin yang diurus Kerajaan, Person Unders Surveilance (PUS) iaitu Jemaah yang negatif ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan akan ditempatkan di hotel atau Pusat Latihan Awam.
Namun, ia tertakluk kepada ketersediaan bilik pada hari ketibaan.
“Bagi pilihan pusat latihan awam, kos urusan kuarantin ditanggung oleh pihak Kerajaan termasuk makan, minum serta pengangkutan dari lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, tempoh untuk jemaah menjalankan kuarantin adalah seperti yang ditetapkan oleh pihak KKM.
Enam stesen kuarantin institut latihan awam (ILA) ialah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Institut Aminuddin Baki (IAB) Nilai; Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Institut Semarak Felda dan Institut Latihan Kehakiman dan Peruncangan (ILKAP) di Bangi; dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Menurut Abd Latiff, sebanyak 19 buah hotel di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor disenaraikan sebagai stesen kuarantin jemaah umrah sebaik mereka tiba di tanah air.
Berdasarkan senarai berkenaan, sebuah hotel di Negeri Sembilan iaitu Klana Resort, 10 hotel di Kuala Lumpur manakala lapan di Selangor.
Hotel di Kuala Lumpur ialah Hotel Royal, Swiss Garden, Bukit Bintang; Hotel IBIS, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC); Hotel Furama, Bukit Bintang; Hotel Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade; IBIS Style KL Fraser Business Park; Hotel AnCasa; Hotel Cosmo; Hotel KIP dan dan Hotel Arena Star.
Penginapan hotel di Selangor ialah Hotel Sama-Sama; Hotel Grand Dorsett, Subang; Hotel Crystall Crown, Petaling Jaya; Hotel Sunway Clio; Hotel Hilton Garden Inn, Puchong; Hotel Oriental Crystal; Hotel Summit USJ dan Hotel Pegasus, Shah Alam.