Semasa

JAWI umum kelonggaran baharu SOP di masjid, surau

KUALA LUMPUR : Ketetapan baharu berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan telah diumumkan dan akan berkuat kuasa bermula hari ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam satu kenyataan memaklumkan ketetapan baharu itu bagi menjunjung titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan kelonggaran SOP di masjid dan surau.

Pengarahnya Datuk Mohd Ajib Ismail berkata imbasan kod QR MySejahtera untuk daftar masuk ke masjid dan surau, penggunaan sejadah sendiri, serta penjarakan fizikal antara jemaah dalam semua keadaan di masjid dan surau kini telah dimansuhkan.

“Jemaah dibenarkan untuk masuk ke masjid dan surau tanpa mengira status vaksinasi kecuali jemaah yang berstatus ‘Berisiko Tinggi’ atau di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

“Jemaah juga tidak diwajibkan untuk memaikan pelitup muka di kawasan terbuka atau di luar dari kawasan masjid dan surau namun masih diwajibkan pakai ketika berada di dalam kawasan tersebut yang tertutup,” katanya.

Tambahnya lagi, kebenaran juga diberikan untuk mengadakan jamuan di masjid dan surau dengan apa-apa cara penyediaan makanan serta aktiviti ziarah dan takbir Hari Raya dari rumah ke rumah anjuran masjid dan surau.

Menurutnya, jemaah juga dibenarkan bersalaman namun tidak dibenarkan menyentuh muka selepas bersalaman dan hendaklah sentiasa mencuci tangan.

“Semoga dengan kelonggaran SOP tersebut, lebih ramai umat Islam dapat hadir mengimarahkan masjid dan surau di kariah masing-masing dan mengekalkan momentum ibadah Ramadan pada Syawal,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button