Covid19Semasa

Jarak solat jemaah setengah meter di Johor masih dikekalkan

JOHOR BAHRU : Jarak antara jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di Johor bagi masjid dan surau negeri itu masih dikekalkan jarak setengah meter meskipun terdapat kawasan terjejas dengan penularan Covid-19 ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata kes penularan Covid-19 yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk Taman Sri Pulai Perdana, di sini pada Ahad lalu, ia masih tidak menjejaskan ketetapan jarak setengah meter berkenaan.

“Kita kekalkan jarak sedia ada iaitu setengah meter bagi solat Jumaat dan fardu lima waktu di masjid dan surau negeri ini yang sudah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, minggu lalu.

“Walaupun berlaku kes penularan COVID-19 di Masjid Taman Sri Pulai Perdana, ia tidak akan mengubah ketetapan itu.

“Ia berikutan masjid dan surau di kawasan berkenaan sudah diarah ditutup sementara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan supaya pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri ini dijarakkan hanya setengah meter berbanding satu meter antara jemaah, sebelum ini.

Perubahan itu berkuat kuasa bermula 7 Januari lalu hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button