GEORGETOWN : Menjelang musim ibadat haji, pastinya akan timbul isu berkaitan penipuan pakej tawaran menunaikan haji.
Mana tidaknya, ia kerana ramai dalam kalangan umat Islam di Malaysia telah menjadi mangsa terhadap penipuan itu.
Musim haji kali ini tetap dibelenggu isu sama meskipun ibadat haji ketika pandemik Covid-19 dilakukan dengan bilangan jemaah terhad serta tawaran pakej yang lebih mahal.
Rakyat Malaysia yang bermastautin di Mekah, Muhammad Syaharuddin Shahari, 36, berkata apabila musim haji semakin hampir, pihaknya kerap dihujani dengan pertanyaan dari umat Islam di Malaysia.
Beliau yang berpengalaman sebagai pembimbing dan konsultan haji di Mekah berkata, bagi tahun ini, kos paling minimum untuk pelaksanaan badal haji adalah sekitar RM15,000 dan tidak wujud perkhidmatan yang dapat melaksanakan badal haji pada kadar RM2,000 hingga RM3,000.
“Pada masa ini, hampir setiap hari saya menerima pertanyaan daripada umat Islam di Malaysia mengenai badal haji.
“Kos bagi pakej haji musim ini yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi adalah antara RM15,000 hingga RM21,000, jadi, ingin saya ingatkan tiada pakej yang dapat tawarkan badal haji dengan harga murah pada musim ini,” katanya ketika dalam temubual bersama Utusan Malaysia.
Muhammad Syaharuddin berkata, dia tidak mahu rakyat Malaysia terus terpedaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan pelaksanaan badal haji dengan kos murah kerana bimbang ibadah tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh individu yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.
“Relevan atau tidak badal haji dengan kos sekitar RM2,000 sedangkan di Mekah sendiri pun mereka yang ingin tunaikan haji wajib ada permit dan permit itu perlu dibayar termasuk pakej haji kira-kira RM15,000,” katanya.
Beliau turut menasihatkan supaya umat Islam yang sudah bayar kos pelaksanaan ibadah haji seeloknya menarik balik hasrat dan meminta wang dipulangkan semula.
“Jika individu berkenaan tidak mahu memulangkan wang, sewajarnya orang yang membayar kos badal haji timbulkan persoalan kepada individu berkenaan.
“Mereka boleh tanya berkenaan permit haji, maklumat pembadal haji dan jika boleh ketika laksanakan badal haji, mereka perlu minta individu berkenaan siarkan ibadah tersebut secara langsung menerusi dalam talian,” tambahnya.
Beliau berkata, pihak yang berhasrat melaksanakan ibadah haji pastikan mendahului diri sendiri terlebih dahulu untuk haji pertama atau haji wajib.
“Mereka juga perlu pastikan pelaksana badal haji hanya memiliki satu badal haji sahaja dan tidak boleh lebih sama sekali dan pembuat badal haji mempunyai permit haji rasmi yang telah berjaya didaftarkan,” katanya.
Oleh : Muhammad Nasrul Haqim – Pelatih Fakulti Filem, Teater dan Animasi. / AJ