Jalur Gemilang gergasi dihasilkan sendiri JKR Klang
Bendera menggunakan kain lycra itu bersaiz 6 meter tinggi dan 22 meter panjang

KLANG: Sempena sambutan bulan Kemerdekaan, pelbagai inisiatif digerakkan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan Keluarga Malaysia.
Di Klang, Selangor, lebih 160 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang menghasilkan Jalur Gemilang gergasi bagi menghiasi bangunan agensi berkenaan.
Jalur Gemilang yang menggunakan kain lycra itu bersaiz 6 meter tinggi dan 22 meter panjang.
Menurut Timbalan Pengarah JKR Selangor, Ir. Mohd Zawawi Zakaria idea untuk menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi ini adalah yang pertama di negeri Selangor.
“Selepas pandemik dan kemudiannya endamik Covid-19, telah 2 tahun kita tidak adakan apa-apa sambutan hari kebangsaan. Jadi, ini adalah satu cara kita mahu tunjukkan keterujaan peringkat JKR Selangor amnya, khususnya JKR Klang untuk kita bersama-sama untuk menyemarakkan kembali sambutan hari Kebangsaan.” kata Ir. Mohd Zawawi
Terdahulu, beliau melancarkan ‘Program Menaikkan Bendera Gergasi & Perhimpunan Bulanan Jabatan bersama Timbalan JKR Selangor’ pada Rabu.
Dalam majlis sama, sesi deklamasi sajak dan nyanyian lagu patriotik turut diadakan.
Bendera Malaysia atau Jalur Gemilang gergasi itu dihasilkan dengan kos RM2,000 dan dijahit eksklusif oleh kakitangan JKR sendiri.
Penghasilan Jalur Gemilang Gergasi berukuran 6 meter tinggi dan 22 meter panjang dalam tempoh 3 hari oleh kakitangan JKR Klang @JKRSelangor @JKRMalaysia @PengarahJKRSEL pic.twitter.com/uYLTZk3WrN
— JKR KLANG (@JKR_KLANG) August 24, 2022
Mereka mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan Jalur Gemilang gergasi ini. Malah, kakitangan JKR di sana melakukan jahitan bendera secara syif di dewan menggunakan peralatan mereka sendiri.
Projek penghasilan bendera gergasi adalah kali pertama dianjurkan JKR Selangor dan akan diperluaskan ke JKR daerah lain.