Pada 5 April 2025 bersamaan 25 Ramadhan 1445 H sempena Hari Al Quds Antarabangsa, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia atau MAPIM yang menganjurkan perhimpunan daripada beberapa gabungan Ngo Malaysia telah mengisytiharkan Jalan Tun Razak adalah jalan berkembar dengan Jalan Al Aqsa.
Tujuannya adalah bagi memartabatkan Jalan Al Aqsa bagi menyampai mesej bahawa rakyat Malaysia memberi perhatian serius terhadap status Masjid Al Aqsa yang terancam akibat pencerobohan tentera zionis Israel sejak 1967 keatas Baitul Maqdis serta bila tentera Israel menceroboh ke dalam Masjid Al Aqsa sendiri.
Masjid Al Aqsa adalah lambang kesatuan umat Islam sekaligus adalah simbol kesatuan kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Sementara Al Aqsa merupakan Masjid yang sangat dimuliakan oleh Islam sebagai Qiblat pertama umat Islam , ia juga adalah simbol kehidupan bersama antara agama Islam , Kristian dan Yahudi, yang saling menghormati dan damai di Baitul Maqdis sehingga tentera zionis melakukan pencerobohan ke atas Masjid Al Aqsa .
Kami berpendirian bahawa pencerobohan ke atas Al Aqsa oleh zionis Israel adalah kemuncak kebiadapan yang tidak boleh dikompromi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini zionis Yahudi memberi fokus untuk melaksanakan agenda proses penYahudian ( Judization ) Masjid Al Aqsa . Matlamat akhir zionis Israel adalah untuk meroboh Masjid Al Aqsa dan digantikan dengan Kuil Yahudi.
Inilah motivasi perjuangan penentangan ( resistance ) yang dilancarkan oleh Hamas yang disokong oleh pelbagai gerakan dan pertubuhan Islam antarabangsa untuk membebaskan Al Aqsa.
Tercetusnya Taufan Al Aqsa (Al Aqsa Storm) oleh Hamas pada 7hb Oktober 2023 adalah berintikan semangat bahawa selagi Al Aqsa tidak dibebaskan selagi itu Palestin tidak merdeka.
Kami mahu rakyat Malaysia dan seluruh aktivis Palestin mempunyai satu tekad iaitu kesucian Al Aqsa mesti dipertahankan. Bahawa Al Aqsa adalah penyatu kepada maruah umat Islam seluruh dunia dan mengabadikan rasa cinta dan mulia kepada Al Aqsa melalui ujudnya satu simbol Al Aqsa iaitu Jalan Al Aqsa di Kuala Lumpur akan meningkat kesedaran rakyat Malaysia kepada isu perjuangan membebaskan Palestin.
Kami mengharapkan Jalan Aqsa ini akan kekal sebagai ikon kepada Kuala Lumpur dan semua pihak menghormati inisiatif NGO ini.