KUANTAN : Jabatan Penjara Pahang memerlukan sumbangan bahan bacaan untuk banduan bagi memenuhi masa terluang mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengarah Penjara Negeri Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad berkata, terdapat kira-kira 5,000 banduan terbabit dengan pelbagai kesalahan yang menghuni Penjara Bentong dan Penjara Penor, di sini.
Menurutnya, berikutan PKP 3.0, semua banduan tidak berpeluang mengikuti pelbagai latihan kemahiran termasuk kelas agama yang sebelum ini yang diwajibkan untuk mereka.
Katanya, semua banduan kini menghabiskan masa di bilik tahanan hingga menyebabkan mereka merasa bosan dan tertekan tanpa melakukan apa-apa aktiviti.
“Sekiranya terdapat bahan bacaan seperti majalah, novel atau buku agama, masa terluang banduan boleh digunakan untuk mereka membaca, dengan cara itu banduan tidak terlalu bosan berada dalam bilik tahanan.
“Kaedah lain digunakan pihak penjara ialah menyediakan pembesar suara yang menyiarkan siaran radio termasuk ceramah agama dan beberapa program lain,” katanya.
Ab Basir berkata, sejak wabak Covid-19 melanda di negara, terdapat tiga kes kematian banduan berlaku di negeri ini membabitkan dua banduan di Penjara Bentong dan seorang di Penjara Penor.
Sementara itu, dalam memastikan tidak berlaku penularan Covid-19, pelbagai langkah dilakukan selain mewajibkan banduan menjalani dua kali kuarantin masing-masing selama 14 hari dan 10 hari sebelum disahkan bebas Covid-19 selain menjalani ujian calitan.
Dalam pada itu, banduan turut diberi penerangan cara mengelak daripada dijangkiti COVID-19, maklumat berkenaan disampaikan melalui pembesar suara oleh doktor penjara.
– Berita Harian
Oleh Hafeez Anuar