
Nafiza al-Nsasrah, isteri kepada pekerja perubatan Gaza, Asaad al-Nsasrah, membuat rayuan penuh emosi agar suaminya yang hilang sejak serangan tentera Israel ke atas konvoi ambulans pada 23 Mac lalu segera dibebaskan. Lebih tiga minggu berlalu, Nafiza masih tidak mendapat sebarang maklumat tentang keberadaan suaminya, termasuk lokasi penahanan atau keadaan kesihatannya.
Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, Asaad ditahan secara paksa oleh tentera Israel selepas serangan hendap ke atas konvoi ambulans dan trak bomba berhampiran Rafah. Serangan itu mengorbankan lapan kakitangan Bulan Sabit Merah, enam anggota agensi pertahanan awam Gaza, dan seorang pekerja UNRWA. Mayat mereka ditemui tertimbus di kawasan Tal al-Sultan, Rafah, dalam apa yang digambarkan sebagai kubur besar-besaran oleh Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA).
“Kami tidak tahu di penjara mana dia berada atau keadaannya. Saya cuma mahu tahu dia selamat,” kata Nafiza kepada AFP sambil menunjukkan gambar suaminya dalam pakaian seragam perubatan. Nafiza, yang kini tinggal di tempat perlindungan sementara di Khan Younis bersama enam anak mereka, berkata keluarganya hidup dalam ketakutan memikirkan kemungkinan penyeksaan yang dihadapi Asaad.
Bulan Sabit Merah Palestin turut mendakwa tentera Israel menembak anggota perubatan dengan “niat untuk membunuh”, berdasarkan rakaman video yang menunjukkan ambulans dengan lampu berkelip diserang. Tentera Israel mendakwa askar mereka tersilap mengenal ambulans sebagai sasaran pengganas, namun rakaman itu bercanggah dengan kenyataan tersebut.
Nafiza berkata dia mendapat tahu tentang penahanan suaminya selepas menghubungi Bulan Sabit Merah kerana Asaad lewat pulang dari syifnya. “Kami lega sedikit apabila tahu dia ditahan, tapi masih takut kerana tahanan sering diseksa,” ujarnya, sambil bunyi dron pengawasan Israel kedengaran di atas tempat perlindungannya.
Tentera Israel berkata siasatan menyeluruh telah diarahkan ke atas insiden tersebut, tetapi tiada maklumat lanjut diberikan. Bulan Sabit Merah Palestin menegaskan serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa, dan menyeru masyarakat dunia membantu membebaskan Asaad.
“Saya memohon kepada dunia untuk membantu kami mendapatkan maklumat tentang Asaad, tentang kesihatannya, dan membebaskannya,” rayu Nafiza dengan penuh harapan.
Sumber: AFP