Israel didakwa lengahkan proses pembinaan semula di Gaza
GAZA : Proses pembinaan semula di Semenanjung Gaza yang ditadbir pejuang Hamas telah dihalang oleh rejim Israel, dakwa seorang pegawai kanan Palestin.
Setiausaha Rendah Kementerian Perumahan dan Kerja Awam Hamas, Naji Sarhan, berkata Israel bertanggungjawab menjadi punca perancangan pembinaan semula bergerak amat perlahan.
“Serangan Israel di Semenanjung Gaza yang didiami lebih dua juta rakyat Palestin, memburukkan krisis kemanusiaan, ekonomi dan sosial, dan menyebabkan kerugian langsung AS$420 juta (RM1.77 bilion).
“Qatar dan Mesir berikrar menyumbang geran kewangan berjumlah AS$500 juta (RM2.11 bilion) setiap satu,” katanya, menambah Jerman menyumbang AS$9 juta (RM37 juta) dan beberapa negara lain menyumbang AS$20 juta (RM84 juta).
Terdahulu, Israel didakwa tidak menunjukkan sebarang komitmen dalam membantu pembinaan semula infrastruktur yang dimusnahkan dalam serangan Israel pada Mei lalu.
Naji memaklumkan bahawa Mesir menghantar jurutera, kelengkapan pembinaan dan pekerja bagi membantu membersihkan sisa runtuhan selepas konflik itu, namun Israel cuba menghalang penghantaran bahan mentah ke Gaza.
Tindakan itu bertujuan ‘mendesak Hamas mengurangkan tuntutan untuk mencapai perjanjian damai yang kekal’, namun Israel akhirnya membenarkan penghantaran semua barangan buat kali pertama sejak beberapa tahun akibat desakan pihak antarabangsa.
Untuk rekod, sekitar 1,800 rumah di Semenanjung Gaza musnah, dan 16,800 lagi rosak dalam serangan berkenaan dalam serangan udara besar-besaran yang berlangsung selama 11 hari di Semenanjung Gaza pada 10 Mei lalu.
Konflik itu meragut lebih 250 nyawa rakyat Palestin dan 13 warga Israel.
Konflik itu berakhir selepas Mesir mengatur perjanjian gencatan senjata antara pejuang Hamas dengan Israel pada 21 Mei.
– AGENSI