IPT tidak dibenar naikkan yuran pengajian – KPT
KUALA LUMPUR : Berikutan penetapan moratorium ke atas kenaikan yuran sejak semester kedua sesi akademik 2019/2020, Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak dibenarkan untuk menaikkan jumlah bayaran yuran masing-masing.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan semalam berkata, moratorium telah ditetapkan bagi kenaikan yuran susulan penularan pandemik Covid-19 ketika itu telah ditetapkan.
“Ia dilakukan atas dasar keprihatinan dan cakna kebajikan rakyat khususnya penuntut IPT terutamanya ketika negara baru sahaja memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April lalu.
“Justeru, IPT tidak dibenarkan untuk menaikkan yuran masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, kos operasi dan sumber kewangan yang disediakan untuk universiti awam (UA) masih ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
“UA masih mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam memberi pendidikan kepada rakyatnya,” katanya.