Dunia

Insiden tembakan rambang di pasar raya AS ragut 10 nyawa

10 maut insiden tembakan rambang di pasar raya AS

NEW YORK : Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan rambang di pasar raya Tops Friendly Market di Buffalo, New York.

Polis mengesahkan suspek merupakan seorang lelaki yang lengkap berpakaian tentera melakukan penstriman langsung sambil melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

Menurutnya, warga Afrika-Amerika merupakan antara 13 mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Seramai 10 orang maut akibat ditembak oleh lelaki dilengkapi senjata dan memakai helmet serta peralatan taktikal. Tiga lagi cedera termasuk dua dalam keadaan parah,” jelas laporan The Buffalo News yang memetik kenyataan pegawai polis di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, seorang pegawai polis memaklumkan pihak berkuasa belum mengesan motif dan sedang menyiasat sama ada insiden tembakan itu bermotifkan sentimen perkauman.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Buffalo, Joseph Gramaglia mengesahkan suspek kulit putih, Payton Gendron ditahan selepas insiden tersebut.

Menurutnya, suspek berusia 18 tahun itu menembak empat orang di kawasan parkir pasar raya yang mana tiga mangsa maut, sebelum masuk ke dalam premis dan melepaskan tembakan.

Menurut Gramaglia, pengawal keselamatan itu melepaskan beberapa das tembakan terhadap suspek, namun lelaki itu yang memakai perisai badan itu menembak pengawal keselamatan.

“Apabila polis tiba, suspek mengacukan pistol ke leher sendiri namun berjaya dipujuk dan menyerah diri,” katanya.

Pasar raya tersebut terletak di kawasan kejiranan yang didominasi kaum kulit hitam, kira-kira lima kilometer di utara bandar Buffalo.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button