Insiden tembakan rambang di gereja di Nigeria ragut 50 nyawa
LAGOS : Insiden tembakan rambang di sebuah gereja di Nigeria telah mengorbankan lebih 50 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Berdasarkan laporan Nigerian Tribune, sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang dan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai di luar perkarangan dan dalam Gereja St Francis di bandar Owo.
Menurut jurucakap Polis Ondo, Funmilayo Ibukan Odunlami, kejadian berlaku ketika upacara Misa diadakan.
Gabenor Ondo, Arakunrin Oluwarotimi Akeredolu ketila melawat mangsa di hospital menyifatkan kejadian sebagai “pembunuhan beramai-ramai” yang tidak seharusnya berlaku.
Sementara itu seorang doktor di sebuah hospital di Owo memberitahu Reuters, sekurang-kurangnya 50 mayat telah dibawa ke dua hospital di bandar berkenaan akibat serangan itu.
Presiden Muhammadu Buhari mengecam sekeras-kerasnya serangan itu serta menyifatkannya sebagai satu “jenayah yang sangat kejam”.
Menurutnya, terdapat keperluan mendesak untuk menderma darah bagi merawat mangsa yang tercedera.
Setakat ini, masih belum dapat dikenal pasti siapa di sebalik serangan ke atas gereja itu.
Walaupun Nigeria bergelut dengan isu keselamatan, Ondo dikenali secara meluas sebagai salah satu negeri paling aman di Nigeria.
Negeri itu, bagaimanapun, telah terperangkap dalam konflik ganas yang semakin meningkat antara petani dan pengembala.