DuniaSemasa

Insiden keganasan Beirut ragut 6 nyawa, lebih 20 cedera

BEIRUT : Insiden tembakan dalam demonstrasi anjuran gerakan Syiah Hizbullah dan amal di Beirut telah meragut enam nyawa manakala lebih 20 orang cedera.

Demonstrasi tersebut diadakan bagi menuntut pemecatan ketua penyiasat insiden letupan Beirut yang berlaku pada Ogos 2020 lalu.

Menteri Dalam Negeri, Bassam Mawlawi memaklumkan kepada sidang media bahawa jumlah kematian meningkat kepada enam orang setakat ini.

Bulan Sabit Merah Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 20 yang lain cedera.

Menurut seorang doktor di Hospital Sahel, seorang wanita yang berusia 24 tahun maut terkena peluru di kepala ketika dia sedang berada di dalam rumahnya.

Sementara itu, tentera melaporkan tembakan berlaku di kawasan Tayouneh – Badaro.

“Tentera bergegas mengepung kawasan itu dan memeriksa kawasan kejiranan dan semua pintu masuk. Pemeriksaan dilakukan untuk menjejaki penembak serta menahannya,” katanya.

Pihak tentera juga memberi amaran bahawa sesiapa yang melepaskan tembakan akan ditembak, selain meminta orang awam mengawasi kawasan itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Najib Mikati meminta semua pihak bertenang dan memberi amaran terhadap cubaan mengheret Lubnan ke dalam keganasan.

– AGENSI

Related Articles

Back to top button