KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan impiannya untuk melawat sebuah negara Palestin yang bebas.
Hasrat itu dikongsi oleh Anwar apabila dijemput sendiri oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melalui panggilan telefon bersama presiden itu yang menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Sudah pasti, saya menantikannya. Saya tidak pernah ke sana dan menjadi impian saya untuk ke sana dan khususnya ke negara Palestin yang bebas…insya-Allah”, katanya.
Video perbualan mereka dikongsikan di Facebooknya pada Isnin.
Dalam perbualan itu, Mahmoud, yang mempelawa Anwar melawat Palestin pada bila-bila masa, berkata negara itu berbesar hati untuk menerima kunjungan Perdana Menteri ke bumi mereka.
Semasa perbualan selama enam minit itu, Mahmoud turut menyatakan penghargaannya terhadap sokongan Anwar terhadap rakyat Palestin.
“Saya berterima kasih kepada pendirian anda dalam isu isu Palestin dan anda memberi sokongan kepada Palestin di mana saja khusus dalam komuniti antarabangsa. Kami mengagumi bantuan, pendidikan dan latihan daripada anda”, kata Mahmoud.
Anwar dalam perbualan tersebut berkata Malaysia akan kekal teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin dan mengembalikan keamanan, kebebasan dan kemerdekaan Palestin.
lsrael has killed 222 Palestinians so far this year. pic.twitter.com/mliqUMGSPX
— TIMES OF GAZA (@Timesofgaza) December 19, 2022
Mahmoud berkata Palestin akan membuka semua pintu kerjasama perdagangan dan hubungan ekonomi dengan Malaysia.
Sementara itu, dalam catatan Facebooknya, Perdana Menteri berkata dalam perbualan telefon itu beliau dan Mahmoud mengulangi kesediaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin di dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan, hubungan sesama rakyat serta pendidikan.
“Saya juga menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa rakyat Palestin dan menegaskan komitmen serta solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel”, katanya.