DuniaSemasa

Imam Besar Al-Azhar tolak cadangan gabung agama

Imam Besar Al-Azhar Mesir, Sheikh Ahmed Al Tayyeb menolak cadangan penggabungan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi untuk menjadi satu agama yang dipanggil Abrahamisme atau agama Ibrahim.

Ujar beliau, idea gabungan tersebut bertentangan dengan kebebasan berkeyakinan.

“Seruan ini mirip dengan seruan globalisasi yang muncul untuk mempromosikan kebersamaan dan kesatuan antara manusia,” katanya berdasarkan laporan Gulf News.

Imam Besar Al Azhar Mesir, Sheikh Ahmed Al Tayyeb

Ulama terkemuka itu turut menyifatkan seruan gabungan itu membayangkan tindakan merampas kebebasan beragama masing-masing.

Dalam satu majlis di Kaherah, Sheikh Ahmed berkata beliau percaya adalah mustahil bagi manusia untuk bersetuju dengan satu agama, memandangkan perbezaan antara warna kulit, kepercayaan, pemikiran, bahasa dan juga cap jari.

“Semua ini adalah fakta sejarah dan saintifik serta fakta yang disahkan oleh kitab suci Al-Quran.” katanya.

Sheikh Ahmed merupakan seorang aktivis dialog antara agama  dan pada 2019, beliau besama Pope Francis bersama-sama menandatangani Dokumen Persaudaraan Manusia yang juga dikenali sebagai Deklarasi Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam dokumen tersebut fokus utama ditekankan ialah konsep keamanan tanpa kekerasan dengan menyeru kesemua penganut agama masing-masing untuk bersatu dan bekerjasama berkhidmat untuk dijadikan panduan bagi generasi akan datang memajukan budaya saling menghormati dalam kesedaran tentang rahmat Tuhan.

Sementara itu, para pemimpin dunia diseru untuk bekerja keras bagi menghidupkan keamanan dan menghentikan pertumpahan darah serta menamatkan peperangan, konflik, kerosakan alam sekitar, moral juga kemerosotan budaya yang sedang dialami kini.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button