Al-Bab, Syria: Buku terbitan kementerian Pendidikan Turki menimbulkan kemarahan awam selepas ilustrasi dalam buku tersebut menggambarkan Nabi Muhammad SAW, lapor pegawai tempatan, semalam.
Imej yang dipaparkan mencetus kemarahan awam menunjukkan seorang lelaki berjanggut memakai baju sejuk berwarna merah jambu dan seluar ‘burgundy’ sedang menjemput anak perempuannya turun dari bas sekolah.
Tajuk yang tertera pada muka surat terbabit ialah ‘Nabi menjemput anak perempuannya, Fatima’.
Bagaimanapun, buku teks yang diedarkan pada Khamis lalu itu telah pun ditarik balik oleh pihak berkuasa di sebuah wilayah utara Syria yang kini dikawal Turki.
Biarpun, menggambarkan ciri visual Nabi Muhammad SAW tidak diharamkan secara terang dalam Al-Quran, namun, ramai umat Islam menganggap perbuatan itu sebagai satu penghinaan.
Menurut, pegawai Pendidikan tempatan, Jumaa Kazkaz, setelah rundingan dengan pegawai Turki, keputusan untuk menarik balik buku teks itu dibuat di beberapa sekolah utara Syria yang dikawal Ankara.
Ini termasuk Kawasan meliputi bandar Al-Bab di mana penduduk memberi amaran untuk melakukan protes dan bandar Jablus yang penduduknya bertindak untuk membakar buku berkenaan.
Pejabat Gabenor Gaziatep dalam satu kenyataan berkata, syarikat penerbitan itu sudah memohon maaf dan mengakui kesilapan dalam kandungan itu.
“Sudah diputuskan bahawa ada isu tidak boleh diterima dari segi pendidikan agama, dalam kandungan buku pendidikan agama itu.
“Insiden berkenaan sedang disiasat dari pelbagai perspektif.” Katanya. – AGENSI
Oleh Nurshazlin Shahrom