Hukum bekas isteri mandikan jenazah bekas suami
Kematian adalah sesuatu yang pasti dan setiap yang hidup akan merasai kematian. Tiada yang bernyawa akan terlepas daripada kematian.
Menguruskan jenazah merupakan satu kewajiban muslim terhadap jenazah tersebut dan salah satu proses menguruskan jenazah adalah memandikannya.
Dalam memandikan jenazah, tentu ada mahram yang dapat melakukannya, atau jenazah perempuan dimandikan oleh perempuan dan jenazah lelaki dilakukan oleh lelaki.
Harus hukumnya bagi seorang suami itu memandikan jenazah isterinya dan begitu juga seorang isteri boleh memandikan jenazah suaminya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umm al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata;
رَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مِنَ الْبَقِيعِ فَوَجَدَنِي وَأَنَا أَجِدُ صُدَاعًا فِي رَأْسِي وَأَنَا أَقُولُ وَارَأْسَاهُ فَقَالَ ” بَلْ أَنَا يَا عَائِشَةُ وَارَأْسَاهُ ” . ثُمَّ قَالَ ” مَا ضَرَّكِ لَوْ مِتِّ قَبْلِي فَقُمْتُ عَلَيْكِ فَغَسَّلْتُكِ وَكَفَّنْتُكِ وَصَلَّيْتُ عَلَيْكِ وَدَفَنْتُكِ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah pulang daripada al-Baqi’ dan baginda menemui aku dalam keadaan sakit kepala, lalu aku mengatakan: Alangkah sakitnya kepalaku. Maka baginda bersabda: Bahkan aku, alangkah sakit kepalaku wahai A’isyah. Kemudian sabda baginda: Tidak menjadi masalah buatmu, sekiranya kamu mati sebelum aku nescayalah aku sendiri yang akan menguruskan jenazahmu, aku mandikan kamu, kafankan kamu, solatkan ke atas jenazahmu, dan kebumikan kamu. Riwayat Ibn Majah : 1465.
Namun apakah hukum bagi bekas isteri atau suami yang ingin mandikan bekas suami atau isteri mereka?
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam al-Khatib al-Sharbini Rahimahullah mengatakan bahawa boleh bagi seorang lelaki itu untuk memandikan isterinya yang bukan diceraikan dengan talak raj’ie sekalipun dia telah bernikah dengan orang lain.
Begitu juga boleh bagi seorang isteri yang bukan diceraikan dengan talak raj’ie untuk memandikan suaminya sekalipun dia pernah berkahwin dengan lelaki lain tanpa dia menyentuh suaminya (semasa pemandian).
Talak raj’ie adalah apabila suami melafazkan talak satu atau talak dua kepada isterinya. Suami boleh merujuk kembali isterinya ketika masih dalam idah. Jika tempoh idah telah tamat, maka suami tidak dibenarkan merujuk melainkan dengan akad nikah baru.
BACA JUGA
Ibu muda Palestin maut ditembak rejim di Nablus