Semasa

HTAR nafi Jabatan Kecemasan dikosongkan kerana lawatan PM

Tidak ada isu menyembunyikan fakta

KLANG : Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menafikan dakwaan bahawa Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dikosongkan kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri pada 13 Julai 2021.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi memberitahu jabatan berkenaan sememangnya sudah  penuh dengan pesakit.

“Pada 8 Julai 2021, Wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dikenalpasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Manakala, pada 9 Julai 2021, Kompleks Rawatan Harian (ACC) telah dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad sementara merawat pesakit Covid-19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam ruang yang selesa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 ke wad Covid-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad dan bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Dalam pada itu, beliau berkata pesakit yang masih belum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma setakat semalam adalah seramai 177 orang.

Trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 sehingga 180 orang pesakit.

Pemindahan pesakit Covid-19 ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsi sebagai Wad Covid-19 adalah pelan kontigensi yang diambil bagi pengurusan Bencana Peringkat Hospital.

Dr Zulkarnain turut mengulas isu pemindahan doktor pelatih dari Asrama Doktor Pelatih HTAR ke Asrama Pelajar Perubatan Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata, pemindahan itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan Blok A, B, dan C asrama doktor pelatih memandangkan Blok D asrama itu sudah digunakan sebagai Pusat Saringan Covid (PSC) sejak April lalu.

“Saya sudah mengadakan lawatan ke Blok A asrama berkenaan bersama Unit Pembangunan, Jabatan Perubatan, Unit Pentadbiran dan Unit Fasiliti Hospital pada 5 Julai lalu dan kami membuat keputusan bagi menukar fungsi Blok A dan B sebagai Wad Covid-19 Kategori satu dan dua.

“Justeru, penghuni Blok A asrama yang menempatkan 10 doktor pelatih wanita dan Blok B (dua doktor pelatih lelaki) dipindahkan selepas kerja penyelenggaraan dibuat di Blok B dan E asrama pelajar perubatan UM,” katanya.

Tambahnya, notis dikeluarkan kepada semua penghuni asrama supaya keluar dalam tempoh empat hari sejak Jumaat lalu untuk berpindah ke Asrama Pelajar Perubatan UM.

Semua pemindahan doktor pelatih itu selesai dilakukan pada Isnin lalu, dan Blok A serta B asrama itu kini sudah ditukarkan kepada Wad Covid-19 Berisiko Rendah.

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button