Jata Negara Malaysia seperti jata negara lain, membawa maksud, ciri dan nilai sesebuah negara. Ia begitu sakral kerana secara visual menterjemahkan teras falsafah dan semangat sesebuah negara. Justeru, apabila Jata Negara diubah suai atau diletak di tempat tidak sepatutnya, perbuatan berkenaan dianggap sebagai menghina negara.
Ada dua isu penghinaan terhadap Jata Negara baru-baru ini yang sudah menjadi pengetahuan umum. Pertama, ia diubah suai bagi menghiasi reka bentuk kulit bukuĀ Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia.
Kedua, ia dipijak-pijak dalam sepatu jenama. Nyatalah ini penghinaan sangat ketara yang undang-undang sedang menanganinya.
Dalam tulisan ini, saya berhasrat menimbulkan unsur bahasa Melayu dalam Jata Negara. Tulisan berbahasa Melayu dalam Jata Negara itu, menggunakan huruf Rumi dan Jawi berbunyi ‘Bersekutu Bertambah Mutu’. Secara ringkas ungkapan ini menegaskan dengan kebulatan penyatuan negeri dan rakyat, maka akan mampan dan tekal mutu kehidupan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang kehidupan.
Namun, Bersekutu Bertambah Mutu bukan sekadar slogan keramat. Begitu juga hasrat membulatkan penyatuan negara dan rakyat demi mencapai mutu kehidupan mampan serta tekal tidak dapat berdiri sendiri tanpa dasar dan asas.
Oleh itu, digubal dasar dan asasnya dalam bentuk Perlembagaan Persekutuan, pelbagai akta dan seumpamanya supaya slogan Bersekutu Bertambah Mutu itu memiliki daya hidup dalam jiwa warga Malaysia seluruhnya.
Dalam konteks bahasa Melayu dalam Jata Negara kita, ia diungkapkan dengan begitu nyata melalui Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa kebangsaan di negara ini ialah bahasa Melayu.
Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 152 menetapkan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda. Syor pindaan itu adalah andaian yang tidak mungkin terjadi kerana salah satu peranan Raja-Raja Melayu ialah mempertahankan bahasa Melayu.
Mengapakah ada tulisan Jawi dalam Jata Negara? Tulisan Jawi menjadi alat membentuk dan memperkasa tamadun keilmuan serta kebudayaan di negara ini. Justeru, sebarang usaha memperkasa dan menyebarluaskan tulisan Jawi di negara ini termasuk menjadikan setiap hari Jumaat sebagai Hari Jawi bersesuaian dengan semangat Jata Negara kita.
Sementara itu, pihak yang menentang tulisan Jawi bererti pengkhianat yang tidak memahami semangat Jata Negara kita, segolongan dengan mereka yang mengubah suai Jata Negara pada kulit buku atau untuk dipijak-pijak dalam sepatu. Sepatutnya lebih banyak tulisan Jawi digunakan di tempat awam negara ini seperti pada nama jalan, bangunan dan taman.
Bahasa Melayu tertera jelas pada Jata Negara. Secara mudah ia memberitahu kita semua bahawa bahasa Melayu harus diutamakan di negara ini. Kalau kita mengambil bidang pendidikan sebagai contoh, maka pendidikan aliran Melayu adalah sekolah aliran perdana di negara ini ā yang mesti terus diperkasa dan dilestarikan. Bahasa Melayu juga wajar berada pada darjat tinggi di universiti awam (UA) kita.
Justeru, kewujudan sekolah vernakular harus difikirkan semula. Bukan sahaja sekolah vernakular menggunakan bahasa asing, bukan bahasa Melayu seperti terungkap dalam Jata Negara, malah banyak pendapat yang menyebut adalah sukar membentuk integrasi multietnik negara ini tanpa satu aliran pendidikan kebangsaan sahaja. Apatah lagi untuk mengiktiraf sijil Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), iaitu sijil lepasan sekolah menengah Cina persendirian yang sudah lama tergelincir daripada landasan sistem pendidikan kebangsaan kita.
Di negara ini, program membina dan mengembangkan bahasa Melayu, secara institusinya diletakkan di bawah tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kita bersyukur kerana ketika DBP seakan malap api perjuangannya, Pengerusi Ahli Lembaga Pengelolanya sekarang yang juga bekas ketua pengarahnya, iaitu Prof Datuk Dr Awang Sariyan, kembali memarakkan nyala ke jalan tempur.
Setiap pihak harus menyokong usahanya termasuk untuk mendapat kuasa undang-undang penguatkuasaan bahasa Melayu, terutama di sektor swasta. Bahasa Melayu wajar terus kelihatan subur sama ada melalui citranya di tempat awam atau sebagai pengungkap epistemologi serta karya kreatif berimpak tinggi.
Dalam sesi Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang, kita juga dapat melihat tahap penguasaan berbahasa sesetengah Ahli Parlimen. Kita berasa pelik bagaimana ada Ahli Parlimen yang kurang fasih serta lancar berbahasa Melayu. Ada juga berucap dalam bahasa Inggeris di Parlimen kita.
Bolehkah kita menganggap mereka ini, secara langsung atau tidak langsung, menghina atau tidak mengendahkan semangat Jata Negara seperti puak yang mengubahsuainya sebagai hiasan kulit buku atau dipijak dalam sepatu?
Bahasa Melayu tertera jelas dan nyata dalam Jata Negara. Justeru, usaha pengembangannya wajar diperkasakan dalam pelbagai aspek serta sektor kehidupan tanpa rasa takut. Usaha mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sikap perkauman.
Penentang usaha mengangkat martabat bahasa Melayu layak dilabel sebagai penghina Jata Negara. Juga penghina Perlembagaan Persekutuan. Setiap negara mempunyai bahasa kebangsaannya. Dan di sini bahasa kebangsaan itu ialah bahasa Melayu. Bahasa untuk semua warganya.
Penulis adalah Sasterawan Negara (SN) dan Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan
-Berita Harian