Semasa

Sijil Pengesahan Halal Malaysia di portal Halal, app SmartHalal

Masyarakat Islam tidak perlu ragu dengan pengimport yang mempunyai sijil

KUALA LUMPUR : Anda mahu maklumat lebih mendalam pengimport daging berlesen?

Senarai penuh mengenainya boleh dirujuk – mengandungi 318 daging berlesen yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di portal Halal www.halal.gov.my atau aplikasi SmartHalal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata masyarakat Islam tidak perlu ragu dengan pengimport yang mempunyai sijil itu.

Beliau menjelaskan perkara itu dalam satu hantaran di Facebook

“Saya amat prihatin akan kebimbangan umat Islam dalam hal ini. KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) selaku agensi berautoriti telah melaksanakan prosedur yang tepat bagi pengurusan kes kartel daging import ini. Adalah sebaiknya proses penguatkuasaan dilaksanakan oleh mereka yang diberi kuasa mengikut lunas perundangan. Insya-Allah selepas selesai perbicaraan dan tindakan undang-undang di mahkamah, semuanya akan selesai,”  –Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada 1 Dis lepas, negara dikejutkan dengan pembongkaran kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Pada 29 Jan, Zulkifli berkata status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran boleh diperoleh dengan cepat dan mudah dengan hanya mengimbas QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal ketika melancarkan kod berkenaan secara maya.

Sementara itu, beliau berkata rundingan meja bulat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pengimport dan pengedar daging dan produk daging pada 11 Jan menghasilkan banyak keputusan yang bermanfaat untuk umat Islam di Malaysia.

Antara pemegang SPHM dalam kalangan pengimport daging berlesen yang hadir dalam pertemuan itu ialah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Sushi King Sdn Bhd, Kyros Kebab Sdn Bhd, Melawati Kebab Sdn Bhd, Nusantara Meat Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd, Al-Hilal Food Processing Sdn Bhd, Macfood Services (M) Sdn Bhd dan Selamat Supplies Sdn Bhd.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button