SEPANG: Mungkin peribasa ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa‘ sesuai digambarkan untuk penghantar makanan yang ditahan akibat menghina Islam baru-baru ini.
Lelaki yang dikenali sebagai Mohd Nor’Muzil Mohd Razalli, 39 itu dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman selepas gagal membayar denda yang dikenakan mahkamah.
Mahkamah Seksyen Sepang telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 selepas Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi menghina agama Islam di laman sosial Youtube.
Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil juga memerintahkan Mohd Nor’Muzil dikenakan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut pada perbicaraan sebelum ini.
Dalam perbicaan tersebut Hakim mengatakan bahawa perbuatan yang dilakukan OKS adalah serius.
“Sebagai umat Islam, tertuduh perlu insaf atas kesalahan dan bertaubat atas apa yang dilakukan.
“Kesalahan ini serius kerana membabitkan sensitiviti agama dan menggugat keharmonian masyarakat di Malaysia serta hantaran video itu ditonton di seluruh dunia,” katanya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki tersebut akan menjalani hukuman penjara selama 6 bulan bermula hari ini. – Hmetro
Oleh Khairulanwar – Wartawan Pelatih Ummah Today