Helikopter tentera terhempas di Azerbaijan, 14 maut
Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam kejadian sebuah helikopter tentera Azerbaijan terhempas di wilayah timur negara Caucasus di Khyzy.
“14 orang maut dan dua lagi cedera akibat nahas helikopter perkhidmatan sempadan negeri,” kata pengawal sempadan dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa 13 daripada mangsa adalah pegawai tentera.
Pegawai sebelum ini berkata bahawa helikopter tersebut terhempas di lapangan terbang Garakheybat di wilayah Khyzy ketika sedang menjalankan penerbangan latihan.
“Terdapat mangsa yang maut dan mengalami kecederaan dalam kalangan anak kapal dan siasatan sedang dijalankan terhadap punca kemalangan itu,” tambahnya.
Insiden itu berlaku dua minggu selepas Azerbaijan dan negara jiran Armenia melaporkan pertempuran terburuk di sepanjang sempadan mereka sejak berperang tahun lalu ke atas wilayah Nagorno-Karabakh.
Perang enam minggu itu meragut lebih 6,500 nyawa dan berakhir pada November 2020 dengan gencatan senjata di mana Rusia menjadi pengantaranya.
Perjanjian itu menyaksikan Yerevan menyerahkan sebahagian besar wilayah yang telah dikuasainya sejak beberapa dekad.
Enam askar Armenia dan tujuh askar Azerbaijan terbunuh pada 16 November dalam pertempuran tersebut.
Gencatan senjata telah dirundingkan pada hari yang sama oleh Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu.
Ketegangan antara Baku dan Yerevan semakin memuncak sejak Mei, apabila Armenia berkata tentera Azerbaijan melintasi sempadan selatannya untuk “mengepung” tasik yang dikongsi oleh kedua-dua negara.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar