DuniaSemasa

Helikopter gagal berfungsi, ‘makan’ tuan

New Delhi: Terinspirasi untuk mencipta helikopter sendiri menjadi impian seorang lelaki di Mahagoan, India selepas menonton filem popular 3 Idiots.

Namun, hasratnya itu musnah apabila dia maut selepas terkena bilah kipas helikopter ciptaannya ketika sesi ujian.

Sheikh Ismail Sheikh Ibrahim, 24, seorang penduduk kampung yang tidak menamatkan persekolahannya.

Bagaimanapun, dia mempunyai impian mencipta sesuatu yang luar biasa untuk membanggakan keluarga dan kampungnya.

Dari itu, Sheikh Ismail mencipta Munna Helicopter yang dibuat daripada besi sebagai prototaip.

Rakannya, Sachin memaklumkan Times of India bahawa Sheikh Ismail mula mengumpul maklumat dan mereka bentuk helikopter yang menggunakan enjin Maruti 800.

Lelaki itu berhasrat untuk memperkenalkan helikopter ciptaannya pada sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

Dia kemudian ada menjemput beberapa rakannya untuk melihat prototaip helikopter berkenaan pada 10 Ogos lalu.

Ramai rakannya teruja dan pergi ke sebuah lokasi di kampung berkenaan untuk melihat hasil ciptaan Sheikh Ismail itu.

Sebaik semua sudah berkumpul, Sheikh Ismail mula menghidupkan enjin helikopter berkenaan sebelum rotor helikopter mula berpusing dengan laju.

Tidak lama selepas itu, rotor di bahagian ekor helikopter tercabut dan terpelanting serta terkena bilah kipas utama.

Keadaan menjadi cemas apabila bilah berkenaan terpelanting dan terkena leher Sheikh Ismail.

Menurut rakannya, helikopter berkenaan sempat naik pada ketinggian 1.5 meter sebelum ini dengan Sheikh Ismail lengkap memakai topi keledar.

Namun, pada malam kejadian dia tidak memakai peralatan keselamatan dan meragut nyawanya.

-Harian Metro

Related Articles

Back to top button