Hari Wartawan Nasional 2022 : Menulis bukan kerana nama

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.
Ia adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara, bangsa dan agama.
Pekerjaan sebagai seorang wartawan merupakan kerjaya yang bergerak di belakang tabir.
Mereka adalah wira tidak didendang kerana sanggup merisikokan diri dan mengharungi bahaya demi melaksanakan tugas.
Profesion itu terikat pada etika bagi melakukan yang terbaik dalam mengetengahkan isu-isu semasa menerusi laporan yang adil dan terperinci.
Tugas wartawan semakin mencabar pada saat
Sebagai wartawan kemanusiaan, menulis bagi mereka adalah untuk menyampaikan cerita tentang golongan yang perlukan harapan dan dibantu oleh masyarakat
Mengambil contoh tragedi banjir pada awal tahun dahulu, dalam sesetengah operasi atau misi kemanusiaan, mereka juga akan turut serta merisikokan diri menaiki bot, bersama-sama mengharungi hujan dan banjir bagi melaporkan tentang golongan yang terkesan akibat bencana ini kepada dunia.
Pengalaman penulis sendiri apabila diberi peluang bertemu dengan golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan warga emas membuatkan penulis sedar bahawa semua manusia yang tidak bernasib baik perlu diberikan bantuan, dan langkah pertama adalah dengan membantu mengkhabarkan kepada dunia tentang musibah mereka.
Ada antara mangsa yang menangis, terdesak memerlukan bantuan orang ramai namun tidak mempunyai platform untuk menyuarakan rintihan mereka.
Di sinilah wartawan kemanusiaan berfungsi menjadi ‘suara’ menerusi penulisan agar masyarakat cakna dan seterusnya menghulurkan bantuan.
Semua itu tidak akan berjaya dilaksanakan sekiranya wartawan itu hanya menjadi armchair reporter yang menunggu berita.
Sebaliknya merekalah yang perlu mencari maklumat dan kebenaran di lapangan.
Jadi pada setiap berita yang membuka mata masyarakat mengenai mereka yang kurang bernasib baik, ada kisah wartawan yang perlu lasak, berdikari dan berkorban bagi memperoleh berita tersebut.
Antara kisah yang penulis tidak mampu lupakan adalah pengalaman meneroka kehidupan Orang Asli di penempatan Orang Asli Ulu Gerik, Perak pada tahun lepas bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Menurut Tok Batin kampung tersebut yang dikenali sebagai Bili, pendapatan mereka hanya bergantung pada hasil menoreh getah, dan sekiranya mahu membeli barang keperluan mereka terpaksa ke pekan yang jaraknya jauh dari perkampungan mereka. Malah ada yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan, bekalan elektrik air dan kemudahan asas yang lain.
Kedudukan perkampungan itu yang yang sukar dihubungi menjadi antara penyebab mereka seolah-olah telah dilupakan.
Itu sangat menginsafkan penulis kerana tanpa wartawan, mungkin kisah penduduk kampung itu terus tenggelam dalam belantara.
Bagi mereka yang bercita-cita mahu menjadi wartawan, ingatlah bahawa wartawan tidak akan menjadikan kita popular, tetapi kita yang perlu ‘mempopularkan’ isu melalui pena kita.
Selamat hari wartawan.