Hari Guru 2022 : Guru Tunjang Sekolah Sejahtera
Guru merupakan tonggak terpenting dalam sistem pendidikan negara. Peranan dan fungsi seorang guru bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid, guru juga memastikan murid ini mempunyai sahsiah serta daya saing yang tinggi.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu kenyataan berkata acara sambutan hari guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan insan mulia yang bergelar guru.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi,” katanya.
Tambahnya lagi, pemilihan tema hari guru pada tahun ini melihat pada peranan guru sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan untuk menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.
“Saya yakin dan percaya, generasi yang dilahirkan oleh guru-guru ini bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara,” katanya.
Guru merupakan ikon yang penting untuk mendidik, mendorong, membimbing, dan membentuk kemenjadian murid yang mempunyai keperibadian unggul.
Mohd Radzi berkata dia berharap para guru dan pendidik sekalian terus meningkatkan usaha untuk membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.
“Semoga guru dan pendidik sekalian terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris Negara,” katanya.