KUALA LUMPUR: MENGAGUMKAN! Program Mobile Clinic Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diadakan kali ini di Pangsapuri Sri Sarawak di sini, hari ini mendapat sambutan penduduk yang sangat luar biasa.
Kehadiran penduduk untuk melakukan rawatan lanjut dan pemeriksaan kesihatan mencatat sekurang-kurangnya 50 peratus sebelum menjelang waktu tengah hari.
Susulan itu, ia merupakan rekod bersejarah selama program Mobile Clinic MAIWP ini digerakkan buat kali ketujuh.
Kehadiran keseluruhan pada hari pertama mencatat sejumlah 80 pesakit yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.
Disebalik tabir dalam menjayakan program ini, kerjasama dari pihak sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan (MediCom) dan Islamic Nursing Association Malaysia (INAM).
Penglibatan mereka memudahkan lagi pengurusan pesakit yang memerlukan.
Menurut pesakit, Zulkarnean Rolah, 41, berkata program Mobile Clinic MAIWP ini sangat bermanfaat kepada orang ramai dalam memberi rawatan kesihatan yang terbaik, layanan mesra daripada doktor dan meringankan beban kos untuk mendapat ubat-ubatan terutamanya golongan asnaf.
”Dengan peluang yang terhidang macam ni, saya pun turun sebab bukan selalu program seperti ini ada, lebih lagi dalam kawasan perumahan tengah bandar Kuala Lumpur ini.
”Dalam pada saya nak buat pemeriksaan, saya bawa sekali dua anak saya untuk lakukan pemeriksaan juga,” katanya.
Program ini memberikan manfaat kepada masyarakat berbilang kaum dengan peratusan warga Cina 30 peratus, Melayu 50 peratus dan India 20 peratus.
Program Mobile Clinic MAIWP ini berlangsung selama dua hari (11 Februari hingga 12 Februari 2022), bermula pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Program ini bertujuan bagi memberi rawatan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada yang memerlukan.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today