Hari Asyura : Antara kebenaran dan kesesatan
Oleh: Amir Aiman (Wartawan Pelatih)
Menjelang awal tahun baru Hijrah, terdapat satu amalan sunat yang digalakkan untuk diamalkan. Amalan tersebut adalah berpuasa pada 10 Muharram atau lebih dikenali dengan puasa hari ‘Asyura.
Sudah menjadi tradisi umat Islam di Malaysia apabila tiba 10 Muharram, pihak masjid akan bertungkus lumus membuat persiapan menyediakan juadah khusus iaitu bubur Asyura untuk diagihkan kepada orang ramai.
Ia bukanlah suatu tuntutan tetapi merupakan tradisi atau adat baik yang dilaksanakan sehingga ke hari ini.
Timbul satu persoalan berkenaan berpuasa pada 10 Muharram sama ada ia juga merupakan tradisi atau sunnah yang diada-adakan.
Lebih mengelirukan apabila terdapat segelintir umat Islam di Malaysia yang mengamalkan ajaran menyeleweng Syiah ketika sambutan 10 Muharram dengan memukul badan mereka menggunakan senjata tajam sehingga luka untuk memperingati seseorang yang telah meninggal dunia, kononnya mengenang kembali peristiwa Karbala.
Menjawab persoalan ini, terdapat beberapa penjelasan yang perlu dititikberatkan. Pertama, Islam melarang sekeras-kerasnya perbuatan atau amalan yang memudaratkan umatnya demi mendapatkan ganjaran dan keredaan Allah SWT. Kedua, galakan untuk berpuasa sunat pada 10 Muharram terdapat dalam hadis-hadis baginda SAW. Antaranya,
Saidatina Aisyah ra. meriwayatkan: “Hari ‘Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah S.A.W juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, baginda bersabda mafhumnya: Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa ‘Asyura)”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Melalui hadis ini juga dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah. Apabila puasa Ramadan difardukan, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ia tetap digalakkan dan merupakan satu daripada sunnah yang sangat dituntut.
Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari ‘Asyura atau 10 Muharram merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW dan Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh merosakkan dan membinasakan diri, apatah lagi menganjurkan kepada umatnya untuk melakukan sedemikian.
Sekiranya ada amalan sebegini daripada Rasulullah SAW, maka adalah lebih baik baginda meminta para sahabatnya untuk mengingati para syuhada yang mati syahid dalam peperangan Badar, Uhud dan peperangan lain.
Kesimpulannya, seluruh umat Islam hendaklah kembali kepda ajaran Islam yang sebenar dengan merujuk al-Quran dan hadis yang sahih jika terdapat sebarang persoalan dan bukan hanya mengikut tradisi atau amalan sesebuah masyarakat. Selain berpuasa pada 10 Muharram, terdapat juga hadis yang menganjurkan untuk berpuasa pada 9 Muharram (hari Tasu’a) iaitu,
“Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! ‘Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah SAW telah wafat”.
(Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Rujukan Portal Rasmi Majlis Agama Islam Selangor