InspirasiKerohanianSemasa

Haram lelaki memakai inai untuk tujuan berhias

Menjelang hari pernikahan, menjadi adat kebiasaan bagi pengantin untuk memakai inai. Inai merupakan perhiasan yang sering digunakan oleh wanita apabila menjelang hari bahagia mereka.

Kadang-kala pengantin lelaki juga tidak melepaskan peluang untuk memakai inai di jari mereka.

Namun timbul persoalan, mengenai adakah kaum lelaki dibenarkan memakai perhiasan tersebut?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mereka menjelaskan bahawa pemakaian inai bagi kaum lelaki pada kedua tapak tangan atau kaki mereka adalah tidak dibenarkan kerana perbuatan itu termasuk dalam perhiasan wanita.

Mereka menerangkan lagi pandangan tersebut dengan memetik sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA yang mengatakan inai adalah perhiasan bagi wanita bukannya lelaki, hadis itu bermaksud:

“Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.   Riwayat Abu Daud

Sudah terang lagi bersuluh, inai merupakan perhiasan bagi wanita seperti yang telah dijelaskan dalam hadis di atas.

Oleh hal yang demikian, dalam sebuah hadis yang lain, terdapat larangan menyerupai wanita. Sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas RA yang bermaksud:

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki. Riwayat Al-Bukhari

Jelaslah bahawa, lelaki diharamkan sama sekali menyerupai wanita dari segi pakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan dan gerak badan serta mengubah bentuk fizikal badan yang menyerupai wanita.

Rasulullah SAW pernah membuang daerah lelaki mukhannas yang mengenakan inai pada kedua tangan dan kakinya. Hadis tersebut daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Sesungguhnya Nabi SAW telah didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas yang mana telah menginai kedua tangan dan kakinya. Maka berkata Nabi SAW: “Apa halnya dengan lelaki ini?”. Maka dikatakan: “Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita”. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar lelaki tersebut di buang daerah ke al-Naqii’. Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya?”. Maka jawab Baginda: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat”.   Riwayat Abu Daud

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button