BanjirDuniaSemasa

Hampir 500,000 penduduk di China dipindahkan akibat banjir

BEIJING : Bencana banjir dan tanah runtuh yang berlaku di selatan China telah memaksa hampir 480,000 penduduk di beberapa wilayah dipindahkan.

Banyak sungai melimpah sehingga mengakibatkan banjir di kawasan rendah ekoran hujan lebat melanda sejak beberapa hari lalu.

Bencana itu telah menjejaskan banyak kilang pengeluaran, premis perniagaan dan operasi logistik yang sebelum ini sudah pun tergendala akibat kawalan ketat Covid-19.

Purata hujan tertinggi sejak 1961 sehingga mencecah 621 milimiter antara awal Mei dan pertengahan bulan ini yang turun di wilayah Guangdong, Fujian dan Guangxi.

Menurut laporan France24, orang ramai dipindahkan ke bandar Shaoguan di Guangdong yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara.

Di wilayah Guangxi, bot getah digunakan untuk membawa penduduk keluar dari kawasan banjir yang menenggelamkan kawasan kejiranan.

Lebih 200,000 penduduk di Guangdong sudah dipindahkan setakat ini dan kesan kemusnahan yang direkodkan di wilayah itu akibat bencana yang berlaku dianggarkan berjumlah AS$254 juta (RM1.1 bilion).

Jabatan Meteorologi juga memaklumkan, sebanyak 28 sungai di Guangxi sudah melebihi paras bahaya dengan hujan lebat direkodkan masih melanda sehingga semalam.

Pada awal bulan ini, 21 orang terkorban selepas banjir yang disebabkan hujan lebat melanda wilayah Hubei di tengah China.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button