Hampir 5000 orang guru diperlukan di sekolah luar bandar – KPM
4732 Guru Diperlukan di Sekolah Luar Bandar
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin dalam kenyataan di Dewan Negara pada Rabu 10 Ogos menyatakan sebanyak 4732 orang guru diperlukan bagi mengisi keperluan pendidik di kawasan sekolah luar bandar.
“Jumlah ini berdasarkan kepada rekod dan data yang telah dikumpulkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) setakat 31 Julai 2022.
Secara keseluruhan kini terdapat 110,000 orang guru termasuk 5944 guru dipilih menerusi pengambilan khas secara ‘one-off’ telah ditempatkan di sekolah luar bandar.
Antara sebab kepada kekurangan guru di sekolah termasuk sekolah di luar bandar adalah disebabkan kurangnya bekalan guru” – Jelasnya di Dewan Negara
Datuk Alamin menyatakan perkara tersebut bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Jefridin Atan yang mengatakan apakah faktor paling nyata yang menjadi punca kekurangan guru di sekolah luar bandar dan apakah inisiatif proaktif jangka masa pendek dan panjang kerajaan dalam mengatasi hal itu.
Alamin telah memaklumkan kepada dewan bahawa Kementerian telah melaksanakan beberapa pendekatan dalam menangani masalah kekurangan guru.
Antara tindakan yang diambil Kementerian adalah dengan menubuhkan jawatankuasa pengambilan dan penempatan guru KPM, melaksanakan pengurusan pengambilan guru secara ‘one-off’ pada tahun 2021.
Bukan itu sahaja Kementerian telah melaksanakan urusan penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 2022 selepas menerima calon PPP yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Selain itu, kementerian turut melaksanakan pertukaran guru sebanyak empat kali setahun bagi memudahkan guru mengisi kekurangan guru di luar bandar.
Alamin turut menyatakan Kementerian akan sentiasa memberi perhatian terhadap pengisian guru di sekolah KPM seluruh negara termasuk di luar bandar bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dijalankan dengan berkesan.