Semasa

Banjir: Hampir 4,000 Mangsa Banjir Masih Berlindung di 27 Pusat Pemindahan Sementara

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Seramai 3,848 mangsa banjir masih ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri yang terjejas setakat jam 8 pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,619 orang yang ditempatkan di 12 PPS melibatkan daerah Kerian, Hilir Perak, Kampar, Perak Tengah dan Kuala Kangsar, berbanding 1,459 mangsa pada malam sebelumnya, menurut Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sementara itu, di PERLIS, jumlah mangsa banjir turut meningkat daripada 47 orang pada malam sebelumnya kepada 469 orang pada pagi ini. Keadaan yang sama turut direkodkan di KEDAH, dengan peningkatan jumlah mangsa kepada 298 orang yang ditempatkan di tiga PPS, berbanding 137 orang pada malam tadi.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir bertambah sedikit daripada 117 orang pada malam sebelumnya kepada 136 orang pagi ini. Bagaimanapun, keadaan di PAHANG menunjukkan sedikit pemulihan apabila jumlah mangsa banjir berkurang kepada 1,259 orang, berbanding 1,418 orang pada malam sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, laman web rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my/ memaklumkan bahawa lima sungai di Malaysia mencatatkan paras air di tahap bahaya, dengan tiga sungai di Sarawak dan dua di Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui amaran yang dikeluarkan pada jam 8.35 pagi ini menyatakan ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang dijangka melanda Perlis, Kuala Lumpur serta beberapa kawasan di Kedah, termasuk Langkawi, Kubang Pasu, dan Kota Setar.

Keadaan cuaca sama juga diramal di beberapa kawasan di Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling), Negeri Sembilan (Rembau), dan Sarawak (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) sehingga jam 11 pagi ini.

SUMBER: Sinar Harian

Related Articles

Back to top button