Haidar, kanak-kanak yang terperangkap dalam perigi selama tiga hari meninggal dunia
KABUL : Haidar, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terperangkap selama tiga hari di dalam sebuah telaga di kampung terpencil Afghanistan dilaporkan telah meninggal dunia.
Penasihat Kanan Kementerian dalam Negeri Taliban, Anas Haqqani mengesahkan perkara itu menerusi satu ciapan di Twitter.
“Dengan dukacitanya, Haidar telah meninggalkan kita buat selama-lamanya, semoga Allah memberi kesabaran kepada semua rakyat Afghanistan dan terutamanya kepada ahli keluarga Haidar,” katanya.
Haidar dilaporkan tergelincir pada Selasa lalu ke dalam sebuah perigi di Shokak, sebuah perkampungan kering di wilayah Zabul, sekitar 400 kilometer (250 batu) di barat daya ibu kota Kabul.
Perigi tersebut mempunyai kedalaman 24 meter dan Haidar tersangkut pada batu di kedalaman 10 meter.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira dua minggu selepas insiden serupa menimpa Rayan Awram, budak lelaki berusia lima tahun yang jatuh dan terperangkap lebih empat hari dalam perigi sedalam 32 meter di Maghribi.
-AGENSI