DuniaSemasa

Had usia jemaah warga asing untuk permit umrah hanya 18-50 tahun

KAHERAH : Had usia bagi mendapatkan permit untuk menunaikan umrah atau tujuan lain untuk jemaah warga asing adalah berusia antara 18 hingga 50 tahun sahaja.

Menurut laporan Gulf News, yang memetik kenyataan Kementerian Umrah dan Haji, suntikan lengkap vaksin Covid-19 yang diiktiraf Arab Saudi wajib diambil setiap jemaah warga asing.

Selain itu, mereka perlu mengemukakan sijil vaksinasi yang disahkan secara rasmi untuk mendapatkan visa kemasukan elektronik melalui aplikasi kesihatan Eatmarna dan Tawakkalna di laman sesawang Kementerian Luar Arab Saudi.

Dalam usaha memudahkan urusan para jemaah, pihak kementerian sebelum ini melancarkan aplikasi kesihatan yang membolehkan jemaah umrah luar negara mendapatkan permit menunaikan ibadah di Masjidil Haram, Makkah dan solat di Masjid Nabawai, Madinah.

Prosedur sama turut ditetapkan bagi jemaah tempatan yang perlu mendapatkan permit selain diminta mengelak daripada membawa kanak-kanak ke Masjidil Haram.

Bulan lalu, Arab Saudi melonggarkan sekatan bagi mengawal pandemik Covid-19 kerana keadaan epidemiologi di negara itu mulai stabil, dengan rekod menunjukkan penurunan mendadak dari segi kadar jangkitan.

Kelonggaran sekatan itu termasuk menamatkan penjarakan fizikal bagi jemaah di dua masjid suci di Makkah dan Madinah, di mana jemaah boleh beribadat dengan kapasiti penuh.

Bagaimanapun, jemaah masih diwajibkan terus memakai pelitup muka keti berada di kedua-dua masjid berkenaan.

– AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button