Semasa

Jemaah Menteri bincang titah Paduka Baginda

Terus utamakan lindungi rakyat daripada COVID-19

KUALA LUMPUR, 25 Okt — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jemaah Menteri akan mengadakan perbincangan lebih lanjut terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Muhyiddin berkata jemaah menteri mengambil maklum titah itu dan kerajaan akan terus memberi keutamaan untuk melindungi rakyat daripada wabak COVID-19.

“Saya menjunjung kasih atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat.”

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian dalam satu kenyataan malam tadi.

Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara petang semalam bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Sementara itu, malam tadi, memetik Bernama beberapa ahli kabinet dilihat hadir di kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, malam tadi.

Kenderaan yang membawa mereka dilihat memasuki perkarangan kediaman perdana menteri bermula jam 8:00 malam tadi dan keluar kira-kira tiga jam kemudian.

Mereka termasuk tiga Menteri Kanan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan),  Dr Radzi Jidin (Pendidikan) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Turut kelihatan ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Selain itu, tiga Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-Tugas Khas), Datuk Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) serta Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  (Hal Ehwal Agama) turut kelihatan hadir.

UMMAHTODAY difahamkan petugas media yang menunggu di hadapan kediaman Perdana Menteri tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan.

Tiada kenyataan juga dikeluarkan kepada media sebaik semuanya meninggalkan kediaman itu.

— BERNAMA/Berita Harian/FB rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button