Guru kehilangan lebih RM200,000, diperdaya Macau Scam
Oleh: Hasanah Yusof, Wartawan Pelatih
SEREMBAN: Seorang guru wanita, 43, menyedari telah diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang mengakibatkan kerugian RM265,225.50.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani, mangsa menerima panggilan telefon pada Jun tahun lalu mengenai pengesahan tuntutan insurans.
Mengikut laporan, mangsa telah menafikan melakukan tuntutan namun suspek memberitahu akan membuat laporan polis berkaitan hal mangsa.
“Pada hari yang sama mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri beliau sebagai ‘Sarjan Razlan’ dari Balai Polis Ampangan Jaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, mengsa diberitahu nama dan nombor kad pengenalannya telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram di bawah Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah.
“Pada hari lain mangsa menerima panggilan panggilan daripada polis lain dan memaklumkan perlu membuat pindahan duit ke akaun bank lain untuk dijadikan dana bayaran selesaikan kes terbabit.
“Bermula 29 Oktober tahun lalu sehingga 26 Mac lalu, mangsa telah melakukan sembilan transaksi pindahan atau memasukkan tunai ke akaun bank rakyatnya berjumlah RM 265,225.50 yang mana sebanyak RM 200,000 diperoleh daripada pinjaman bank, katanya.
Walau bagaimanapun, selepas 10 bulan mangsa menyedari ditipu selepas mendapati baki dalam akaun banknya tinggal RM78.
-AGENSI