DuniaSemasa

Gempa bumi 5.5 magnitud landa Taiwan

TAIPEI : Taiwan dilanda gempa bumi berukuran 5.5 magnitud sehari selepas gegaran lebih kuat yang mengorbankan satu nyawa dan mencederakan kira-kira 150 yang lain.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi terbaharu itu berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan kira-kira 66 kilometer dari selatan-barat daya bandar pantai Hualien pada kedalaman 13 kilometer.

Terdahulu, beberapa siri gegaran gempa bumi sejak Sabtu lalu telah menggemparkan penduduk di kawasan luar bandar dan tenggara Taiwan yang mempunyai kurang penduduk.

Pada Ahad lalu, jalan raya dan rumah di bandar Yuli runtuh ekoran gempa bumi paling kuat yang berukuran 6.9 magnitud selain menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terkorban.

Empat yang lain berjaya diselamatkan dari bangunan runtuh manakala pihak berkuasa berkata seramai 146 orang mengalami kecederaan dalam insiden gempa bumi tersebut.

Untuk rekod, lebih 100 orang terbunuh dalam gempa bumi di selatan Taiwan pada 2016, manakala gempa 7.3 magnitud membunuh lebih 2,000 orang pada 1999.

Taiwan terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik dan terdedah kepada gempa bumi.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button