DuniaSemasa

Gaduh sebab Wi-Fi, remaja bunuh adik dan ibu bapa

MADRID: Kejadian bertukar tragedi buat sebuah keluarga di bandar Elche, tenggara Sepanyol apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun didakwa membunuh ibu bapa serta adik lelakinya.

Tragedi tercetus selepas berlaku pertengkaran keluarga mengenai Wi-Fi di rumah mereka.

Menurut laporan Agensi Berita Xinhua memetik akhbar Sepanyol, polis mengesahkan remaja itu yang namanya tidak didedahkan, ditahan kelmarin kerana dituduh melakukan tiga pembunuhan yang berpunca daripada pertengkaran mengenai gred pelajarannya yang lemah.

Akhbar tempatan melaporkan, ibu remaja itu memutuskan aksesnya kepada Wi-Fi sebagai hukuman atas prestasi buruk suspek di sekolah dan keengganan membantu melakukan kerja di rumah.

Susulan itu, remaja terbabit didakwa mengambil senapang patah lalu menembak mati ibunya, sebelum membunuh bapa serta adik lelaki berusia 10 tahun dengan senjata sama apabila mereka pulang ke rumah dan mengetahui apa yang telah berlaku.

Remaja itu kekal di rumah bersama ketiga-tiga mayat selama tiga hari sebelum membuat pengakuan kepada saudara-mara yang bimbang selepas tidak mendengar khabar daripada keluarga berkenaan.

Polis kemudian menahan remaja itu, dan dia secara rasmi mengaku melakukan tiga pembunuhan berkenaan, ketika disoal siasat di Balai Polis Elche serta kini masih berada dalam tahanan. – BERNAMA

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button