Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
BANGI : “Saya bertuah kerana Allah pilih saya dan saya terkejut kenapa Allah pilih saya untuk berjumpa (dalam mimpi) dengan Rasulullah SAW.”
Itulah pengakuan selebriti terkenal Corrie Lee atau nama Islamnya Adam Corrie Lee Abdullah.
Dalam sesi temu bual secara live bersama Ummah Today yang dihoskan oleh Faizal Ismail (FBI), Adam Corrie, 53, menceritakan kisah perjalanan penghijrahan beliau menjadi seorang mualaf dan bagaimana hatinya terdetik untuk terus berada di jalan Allah.
“Saya bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Selepas lima tahun, saya rujuk pada ulama dan ulama ini memberitahu saya, doa saya telah dimakbulkan,” katanya dalam nada gembira.
Tambah beliau, hanya Allah sahaja yang tahu doa dan niat yang tersemat dalam lubuk hatinya.
Amalan berjumpa dengan Rasulullah SAW
Dalam pada itu, FBI turut berkesempatan bertanyakan apakah amalan yang dilakukan sehingga berjaya menjadi insan terpilih bertemu dengan Kekasih Allah.
Ulas Adam Corrie, beliau mengikut amalan yang dikongsikan seorang ustaz iaitu solat tahajjud selama 40 hari dan selawat ke atas-Nya sebanyak 1000 kali atau sebanyak yang mungkin.
Dengan izin Allah, rezeki untuk bertemu dengan Rasulullah pastinya termakbul dengan niat dan doa yang betul.
Sementara itu, FBI yang mendengar perkongsian Adam mengakui dirinya amat cemburu dengan peluang yang diterima.
“Saya terkesima dengan apa yang diceritakan Tuan Adam. Saya akui saya cemburu kerana saya ingin sangat bertemu dengan Rasulullah SAW,” katanya dengan nada yang sebak.
Pada akhir sesi temu bual, Adam Corrie sempat menyelitkan sedikit kata-kata yang menjadi pegangan buat dirinya,
“Biar hilang kawan, biar hidup tak mewah, janji jangan hilang Allah dan keluarga tercinta”
Selain itu, beliau juga menasihati masyarakat khususnya umat Islam untuk sentiasa bersangka baik dan kejar hidayah Allah, baginya hidayah itu perlu dikejar dan ia tidak datang bergolek.
Oleh Nurshazlin Shahrom