PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sasar RM13.5 juta sebagai nilai jualan keseluruhan Program ‘Jualan Ramadan Madani’ di 103 lokasi di seluruh negara.
Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, program ‘Jualan Ramadan Madani’ diadakan bermula Jumaat sehingga sehari sebelum Ramadan.
“Ini adalah program tahunan khas FAMA setiap kali menjelang Ramadan bagi memudahkan pengguna mendapat bekalan barangan keperluan,” katanya kepada media selepas merasmikan Jualan Ramadan Madani di Pasar Tani Putrajaya, Presint 2, pada Jumaat.
Menurutnya, Program Jualan Ramadan Madani menawarkan barangan yang dijual pada harga yang murah daripada kawasan sekitar.
“Pengunjung juga boleh mendapatkan potongan harga murah antara RM5 hingga RM10 bagi Kombo Madani iaitu ‘happy hour’,” katanya.
Beliau berkata, Bakul Madani turut ditawarkan pada harga lebih murah.
“Bakul Madani ini ada 4 atau 5 barangan yang dijual dengan potongan harga ditetapkan oleh penjual,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Abdul Rashid berkata, tiada gangguan bekalan barangan di seluruh negara kecuali di beberapa tempat di Johor yang terjejas akibat banjir.
“Bagaimanapun kita telah mengambil langkah drastik dengan mengambil stok bekalan dan dihantar ke kawasan tersebut.”
“Saya percaya dengan keadaan cuaca baik yang berterusan, semuanya akan kembali seperti biasa,” katanya.
BACA JUGA
Banjir Johor: MAPIM sediakan masakan panas elak keracunan