WASHINGTON : 70 pemandu trak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan telah ditahan di Ethiopia.
Menurut Agensi Anadolu, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric memaklumkan sembilan petugas bantuan PBB masih ditahan oleh kerajaan Ethiopia
“Kami menyeru agar mereka dibebaskan,” katanya.
Pada Selasa, Dujarric berkata, PBB sedang berusaha secara aktif dengan kerajaan bagi membebaskan 16 kakitangan warga tempatan PBB yang ditahan di Ethiopia manakala enam yang lain dibebaskan.
Namun, setakat ini iada penjelasan diberikan kepada badan antarabangsa itu akan penahanan mereka, kata Dujarric.
Dalam pada itu, darurat diisytiharkan di Ethiopia minggu lalu berikutan Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) memperoleh kuasa ketenteraan di wilayah Amhara, bersebelahan wilayah Tigray.
TPLF berkata, ia menguasai bandar strategik Disi dan Kombolcha di negeri utara Amhara.
Menurut PBB, berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik Tigray dan PBB memberi amaran akan kemungkinan bencana kemanusiaan berlaku.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar