SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Recep Tayyip Erdogan menyarankan agar Malaysia dan Turkiye mencari jalan serta menjalin kerjasama dalam menangani isu Islamofobia.
Anwar berkata Erdogan memaklumkan perkara itu kepada beliau ketika mereka bercakap di telefon 3 hari lepas.
Beliau memang kerap telefon, kurang-kurang sebulan sekali, cakap pelbagai hal, hal keluarga, sembang-sembang dan beliau cadangkan kami berdua cari jalan untuk tingkatkan usaha jadi benteng melawan serangan Islamofobia.
“Dia cadang kita buat, jadi saya kata boleh, saya minta dia siapkan jentera, cadangan dan beliau minta jumpa di New York ketika Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan pada September ini”, katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan MADANI Negeri Sembilan pada Selasa.
Perdana Menteri berkata ini berikutan nama Malaysia diangkat kedudukannya di mata dunia dan yakin dengan keupayaan negara untuk turut serta dan menjadi benteng serangan Barat termasuk dalam isu pembakaran Al-Quran.
Beliau berkata Malaysia bersikap tegas dalam perkara itu selain tidak mengizinkan penghinaan ke atas mana-mana agama dalam negara.
“Apa kita buat (dalam kes pembakaran Al-Quran), yang pertama, kita bantah Menteri Luar (panggil Duta Sweden) bagi ingatan…ini kerja biadab. Kita arahkan sejuta naskhah Al-Quran kita diedar ke seluruh dunia dan 15,000 naskhah dalam Bahasa Sweden kita hantar ke Sweden, itu cara kita balas (perbuatan membakar Al-Quran) kepada mereka”, katanya.
Beberapa bulan kebelakangan ini perbuatan membakar atau mencemarkan Al-Quran atau cubaan berbuat demikian oleh individu atau kumpulan Islamofobia, terutamanya di negara Eropah utara dan Nordik berlaku semakin kerap serta meresahkan umat Islam di seluruh dunia.
BACA JUGA
Islamofobia: Dengan berselawat, akan selesai semua masalah