Enggan salam wanita, doktor gagal dapat kerakyatan Jerman
Walaupun lulus cemerlang dalam ujian
JERMAN : Gara-gara menolak bersalaman dengan perempuan, hak mendapatkan kewarganegaraan bagi seorang doktor berasal dari Lubnan dinafikan.
Mahkamah Pentadbiran Baden-Wurttemberg, VGH ketika memutuskan perintah itu berkata doktor berkenaan tidak boleh mendapat kerakyatan walaupun telah lulus ujian neutralisasi.
Ujian neutralisasi ialah proses perlu dilalui bagi seseorang warga asing yang ingin menjadi warga Jerman.
Dalam hujahnya pada Jumaat itu (17/10) hakim berkata sesiapa yang menolak untuk berjabat tangan kerana berpegang kepada asas dan konsep budaya serta nilai, bahawa wanita adalah godaan seksual, mereka tergolongan dalam kumpulan yang menolak syarat kepada integrasi hidup bersama di Jerman.
Terdahulu doktor lelaki dari Lubnan itu menolak bersalaman dengan wanita kerana alasan mematuhi syariat Islam.
Beliau yang datang ke Jerman pada tahun 2002, menuntut ilmu perubatan dan kini berkhidmat sebagai pakar kanan di sebuah klinik.
Beliau memohon kerakyatan Jerman melalui proses naturalisasi pada tahun 2012.
Beliau juga menyatakan ikrar setia kepada Perlembagaan Jerman dan menentang ekstremis, malah lulus ujian proses itu dengan keputusan cemerlang.
Bagaimanapun ketika sijil neutralisasi itu diserahkan kepadanya pada tahun 2015, oleh pegawai wanita bertanggungjawab, beliau enggan bersalam.
Pegawai wanita itu kemudian menahan sijil beliau dan menolak hasratnya menjadi warga Jerman.
Mahkamah itu juga dalam hujahnya juga menyebut berjabat tangan adalah ritual tidak berlisan yang biasa dilakukan oleh mana-mana jantina, malah dikatakan satu amalan yang diwarisi berabad lamanya.
Bersalam juga kata hakim, adalah sebagai satu perlambangan persetujuan dalam perundangan apabila kontrak dipersetujui, dan budaya itu menebal dalam kehidupan dalam konteks sosial, budaya dan perundangan.
Sehubungan itu sesiapa yang menolak berjabat tangan kerana asas gender telah melanggar kesucian Perlembagaan Jerman.
Doktor itu dalam pembelaannya berkata, beliau hanya mengikut apa yang ditetapkan agama dalam hubungan di antara lelaki dan wanita.
Malah katanya ketika ini bersalaman juga tidak digalakkan ketika musim Covid-19 bagi mengelak penularan wabak.