Semasa

Enam pusat pengumpulan al-Quran, buku agama dibuka di kawasan banjir – JAIS

SHAH ALAM : Enam pusat pengumpulan al-Quran serta buku agama yang musnah akibat banjir yang melanda bumi Selangor pada 18 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan, inisiatif tersebut dibuat selaras dengan tanggungjawab demi menjaga kesucian al-Quran.

“Banjir besar yang melanda mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan harta benda termasuk al-Quran dan buku agama di masjid, surau, sekolah dan rumah persendirian.

“Justeru, JAIS menetapkan enam pusat pengumpulan di enam daerah yang terjejas banjir iaitu Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai bagi daerah Hulu Langat; Tanah Perkuburan Islam Johan Setia (Klang); Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya (Petaling); Masjid As-Solihin Kancong Darat (Kuala Langat); Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor (Kuala Selangor); dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya (Sepang).

“Kesemua pihak khususnya umat Islam di lokasi yang terjejas, boleh dan hendaklah menghantar naskhah al-Quran dan buku agama yang mengalami kerosakan ke masjid kariah yang berdekatan sehingga 30 Disember ini (Khamis).

“Naskhah berkenaan akan dikumpulkan dan dibawa ke pusat pengumpulan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kebersihan dan kesesuaian tempat untuk bagi meletakkan kesemua naskhah yang dihantar haruslah diambil berat oleh pihak masjid serta jauh daripada laluan manusia atau haiwan bagi mengelakkan ia dilangkah, dipijak, serta diletakkan di kedudukan yang tinggi dari paras biasa persekitaran.

Menurutnya, bahan-bahan berkenaan harus ditutup menggunakan plastik atau kanvas bagi tempat yang tidak berbumbung untuk mengelakkan ia basah akibat terkena hujan.

“JAIS akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menguruskan pengangkutan kesemua naskhah terbabit dari masjid kariah sehingga keenam pusat pengumpulan al-Quran dengan segera sebelum proses pelupusan dilaksanakan,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button