SHAH ALAM: Enakmen Halal Negeri akan dipinda supaya ia bersesuaian dengan perkembangan industri dan keperluan halal semasa oleh kerajaan Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata perkara itu kini dalam proses akhir sebelum ia dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diluluskan.
“Kajian sudah dilakukan oleh pakar untuk meneliti aspek undang-undang kerana kita tidak mahu enakmen berkenaan bertembung dengan akta di peringkat Persekutuan.
“Saya lihat penambahbaikan ini meliputi beberapa segmen yang sudah diperincinkan serta dikembangkan supaya sesuai dengan perkembangan semasa.
“Kita jangka, proses (kajian) akan siap dalam tahun ini dan dibentangkan dalam sidang DUN..mungkin pada sidang bajet yang akan datang,” katanya kepada agensi
Tambahnya lagi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang sebelum ini menguruskan enakmen berkaitan halal secara ringkas serta tidak menyeluruh.
Oleh itu, untuk penambahbaikan yang merangkumi semua segmen ia perlu dipinda.
“Kalau sebelum ini, enakmen berkenaan tertumpu kepada makanan dan minuman sahaja tetapi sekarang kita ada industri farmasi (bahagian perubatan), kewangan, pelancongan dan lain-lain.
“Jadi ia dipinda bersesuaian dengan perkembangan industri serta keperluan halal semasa,” katanya.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today