Semasa

Empat lelaki warga Nepal ditahan susulan video hina Nabi Muhammad

KUALA LUMPUR : Seramai empat lelaki warga Nepal ditahan susulan video berunsur perkauman di mana mereka meghina Nabi Muhammad SAW di sekitar kawasan Meru, Klang.

Sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menangkap empat suspek yang berusia antara 26 dan 27 tahun itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, keempat-empat lelaki berkenaan disahkan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penularan video menerusi aplikasi TikTok.

“Video berkenaan memaparkan sekumpulan warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves dan menyatakan pendirian menyokong perjuangan Hindu Samachar serta tindakan Nupur Sharma, ahli politik dari parti Bharatiya Janata di India yang berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau menyebabkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Abd. Jalil, peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan turut dirampas ketika penahanan keempat-empat suspek tersebut.

“Usaha mengesan suspek yang bebas masih diteruskan dan polis menggesa individu terbabit untuk tampil membantu siasatan,” tambahnya.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button