Dunia

Elak rusuhan Capitol berulang hari angkat sumpah Biden, Dewan Perwakilan lulus usul singkir Trump

Usul Datuk Bandar Washington terima 220 berbalas 205 undi

WASHINGTON : Dewan Perwakilan yang dikuasai Demokrat meluluskan resolusi mendesak Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Mike Pence menggunakan seksyen empat Perkara 25 Perlembagaan, untuk menyingkirkan Presiden Donald Trump kerana pembabitannya dalam rusuhan di Capitol, meskipun naib presiden itu telah memberi amaran bahawa langkah itu akan menjadi duluan terburuk, lapor Agensi Berita Sputnik.

Dewan Senat pada Selasa meluluskan perkara itu dengan 220 berbalas 205 undi.

Resolusi itu meminta Pence memangku jawatan presiden selepas Trump didapati “gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.”

Pence, dalam sepucuk surat kepada Speaker Dewan Nancy Pelosi menjelang undian itu, menyatakan langkah itu akan menjadi duluan terburuk dan boleh memecah-belahkan negara.

Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence didesak melawan Trump dan meleraikan persengketaan berbulan dengan bos beliau.

Susulan itu, Dewan pada Rabu memutuskan meneruskan usul mendakwa.

Semalam, Trump mengisytiharkan darurat bermula sehingga selepas hari mengangkat sumpah Presiden baharu, Joe Biden yang berlangsung pada 20 Januari hadapan di Washington.

Laporan saluran berita 9 News, White House dalam satu kenyataan berkata, perintah darurat itu dikeluarkan selepas dicadangkan oleh Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser susulan kejadian rusuhan di bangunan Capitol baru-baru ini.

“Hari ini (kelmarin) Presiden Donald Trump telah mengisytiharkan darurat di daerah Colombia dan mengarahkan pegawai Persekutuan untuk melaksanakan perintah berkenaan bermula 11 hingga 24 Januari 2021,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Bowser berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan langkah keselamatan lebih ketat dapat dilaksanakan ketika majlis angkat sumpah Biden.

“Berikutan serangan terhadap bangunan Capitol yang berlaku baru-baru ini, pasukan perisik menjangkakan keadaan sama akan berlaku pada majlis angkat sumpah berkenaan.

“Pentadbiran daerah telah menilai semula persediaan dari segi aspek keselamatan terhadap majlis angkat sumpah tersebut termasuk mengarahkan Pengawal Kebangsaan DC untuk membantu menjaga keselamatan sehigga 24 Januari nanti,” katanya.

6 Januari lalu, seorang penyokong wanita Presiden Amerika Syarikat (AS) mati akibat ditembak dalam bangunan Capitol, Washington ketika keadaan kelam-kabut berlaku disebabkan penyokong Donald Trump melanggar kawalan keselamatan di bangunan tersebut.

Wanita itu meninggal dunia beberapa jam selepas ditembak, kata satu sumber kepada penguat kuasa undang-undang kepada portal berita Daily Mail.

Sekurang-kurangnya satu bahan letupan ditemui berdekatan dengan bangunan tersebut yang menjadi tempat wakil-wakil rakyat AS bersidang.

Kejadian yang berbahaya itu berlaku di bangunan yang menempatkan Dewan Senat dan Dewan Perwakilan AS iaitu tempat anggota-anggota Kongres mengira undi elektoral Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada 3 November tahun lalu.

Kejadian itu berjaya dirakam media tempatan.

Rusuhan berlaku kerana penyokong Trump cuba menghalang sesi Kongres yang diadakan bagi mengesahkan kemenangan Joe Biden dari parti Demokrat sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Namun dalam perkembangan terkini, Demokrat berjaya menguasai Senat Amerika Syarikat apabila memenangi pilihan raya di Georgia sekali gus memberi tamparan hebat kepada Republikan, pimpinan Trump yang hanya tinggal seminggu lagi sebelum menamatkan tugasnya di Washington.

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button