Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula 1 Jun ini, pemberhentian eksport sebanyak 3.6 juta bekalan ayam merupakan antara lima pendekatan segera jangka pendek diumumkan kerajaan semalam, bagi mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan itu.
Beliau menegaskan bahawa bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini tindakan terbabit diputuskan mesyuarat kabinet semalam yang berkuat kuasa hingga harga dan pengeluaran ayam tempatan kembali stabil.
Lima langkah bagi mengatasi isu harga dan bekalan ayam
I. Menghentikan eksport ayam bermula 1 Jun 2022 hingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.
II. Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.
III. Memansuhkan Approved Permit (AP) ayam bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.
IV. Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam
V. Menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam
Tambahnya lagi, kerajaan akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi kerajaan yang lain disamping menghentikan eksport ayam.
“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.
“Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Ada syarikat pengeluar makanan yang bertindak tidak mengeluarkan ayam ke pasaran menyebabkan isu kekurangan bekalan ayam meruncing pada hujung minggu lalu ketika umat Islam masih lagi merayakan Aidilfitri.