InspirasiSemasa

Dunia yang lebih baik adalah tidak mustahil! – Susilo Bambang Yudhoyono

Cabaran masyarakat dunia masa kini meliputi geopolitik, ekonomi dan iklim

BANGI:Keamanan adalah sama sekali tidak mustahil. Harapannya ada, kita hanya perlu bersabar dan berusaha ke arahnya.”

Itu antara visi dalam syarahan oleh mantan Presiden Indonesia ke-6, Tuan Yang Terutama Profesor Doktor H. Susilo Bambang Yudhoyono dalam ucaptama Diraja-nya pada Majlis Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-5 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.

Majlis yang dihadiri Tuanku Canselor (UKM) D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir & D.Y.M.M. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud itu  merupakan acara syarahan perdana terulung di UKM yang dianjurkan sebagai tanda sanjungan universiti kepada Canselor mereka.

Turut sama hadir berangkat antaranya adalah Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz dan YTM Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Tunku Temenggong Kedah dan Pro-Canselor UKM.

Syarahan Canselor Tuanku Muhriz kali ini menampilkan Prof. Dr. H. Susilo Bambang Yudhoyono (Bapak SBY) sebagai Pengucaptama Diraja. Beliau menyampaikan syarahan bertajuk ‘A Better World is Possible’. Sebelum itu, pidato pengenalan telah dilakukan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman.

Syarahan yang disampaikan oleh Bapak SBY itu berkisarkan cabaran masyarakat dunia masa kini yang meliputi geopolitik, ekonomi dan iklim.

Dalam keadaan dunia memasuki era baharu, persaingan kuasa besar yang dipanggil keadaan kemelesetan geopolitik, hubungan antara kuasa besar dirumitkan dengan konflik yang semakin sengit, persaingan, ketidakamanan dan ketidakpercayaan yang semakin meningkat.

“Untuk menggalakkan kerjasama geopolitik, kita perlu menutup defisit ketidakpercayaan yang semakin meruncing kini dan membangunkan kepercayaan strategik antara negara.” tegas Bapak SBY

“Pastinya kepercayaan strategik itu tidak terjadi dalam sekelip mata, ia memakan masa dan usaha.”

“Negara-negara perlu sering bergabung dalam satu pertemuan dan perbincangan, dari situ akan wujud pengalaman yang membawa kepada persefahaman bersama. Proses memberi dan menerima dengan hati terbuka perlu ada walaupun mungkin ianya sukar. Jika ini semua berjaya, maka dunia yang lebih baik pasti akan tercapai.” kata Bapak SBY mengakhiri syarahannya.

Cendera kenangan disampaikan kepada D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir & D.Y.M.M. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud
Hadir sama dalam Syarahan Canselor Tuanku Muhriz ini adalah TYT Hermono (Duta Besar Indonesia ke Malaysia), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi UKM.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button