
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India yang turut ditauliahkan ke Afghanistan, mengesahkan dua rakyat Malaysia masih berada di Afghanistan.
Suruhanjaya Tinggi itu memaklumkan, kedua-dua mereka bertugas dengan organisasi bantuan antarabangsa di Kabul, ibu negara Afghanistan.
Bagaimanapun, suruhanjaya berkenaan tidak memberikan butiran lanjut mengenai mereka.
Menurut suruhanjaya itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang bekerja dengan institusi kewangan di Kabul, sudah pun menghubungi misi berkenaan dan sudah selamat kembali ke Malaysia awal bulan ini.
“Kedua-dua rakyat Malaysia itu sudah pun mengatur urusan untuk terus berada di Afghanistan buat masa ini,” menurut pejabat pesuruhjaya tinggi itu.
Pihak suruhanjaya tidak menolak kemungkinan masih ada rakyat Malaysia lain di Afghanistan dan menasihati mereka supaya mendaftar serta mencadangkan supaya mereka pulang dan terus berada di Malaysia sehingga keadaan di Afghanistan bertambah baik.
Ditanya mengenai perniagaan Malaysia di Afghanistan, suruhanjaya memaklumkan, mereka tidak mempunyai maklumat sebarang syarikat Malaysia beroperasi di negara yang dilanda kancah peperangan itu.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar