Semasa

Dua Program Dengan Kerjasama MAPIM Telah Berlangsung di Bangi dan Putrajaya

Pertubuhan Malaysian Consultative Council of Islamic Organization (MAPIM) telah berjaya  melaksanakan dua program pada 22 dan 24 Februari 2025, yang bertujuan memperkukuh usaha kebajikan dan pendidikan ummah. Kedua-dua acara ini mendapat sambutan hangat daripada  masyarakat setempat.
Program pertama, Bangi Berselawat 4.0: Cinta Rasul Membawa Berkat, telah diadakan pada 22 Februari 2025 (Sabtu) di Masjid Hasanah, Bangi. Acara anjuran Masjid Hasanah dengan kerjasama MAPIM ini menyaksikan pelbagai aktiviti termasuk penyediaan seekor lembu oleh MAPIM, gotong-royong rewang, serta sokongan teknikal LED, bunyi dan pencahayaan. Klinik bergerak turut menyediakan rawatan kesihatan percuma, di samping agihan 200 kotak kurma dan liputan media sepanjang majlis. Tim teknikal, pasukan tugas dan media MAPIM memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran acara ini.
Manakala program kedua, Majlis Ilmu Madani, telah berlangsung pada 24 Februari 2025 (Isnin) bermula pukul 6.00 petang di Masjid Putra, Putrajaya. Anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini melibatkan penyertaan MAPIM melalui gerai dan pameran, serta penyediaan kandungan LED berupa video mengenai Gaza dan Palestin yang dihasilkan oleh MAPIM.
Bendahari MAPIM Tuan Hidayat, dalam kenyataan sebelum ini memohon doa dan sokongan agar kedua-dua program berjalan lancar.
“Kami bersyukur kerana acara ini telah pun selesai dilaksanakan dan memberi manfaat kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap isu ummah,” kata Tuan Hidayat.
Kedua-dua program ini telah mencapai matlamatnya dan meninggalkan kesan positif kepada semua yang terlibat. MAPIM berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kebaikan bersama.

Related Articles

Back to top button